Khamis, 12 April 2012

Isu penari tiang didenda RM25


Saya agak terkejut melihat isu di muka hadapan Kosmo yang bertajuk Penari tiang Melayu didenda RM25. Nilai RM25 itu dikatakan menjadi isu perbualan masyarakat sehingga hari ini. Adakah dengan nilai RM25 isu ini selesai begitu sahaja? Bayangkan gadis-gadis Melayu yang beragama Islam melakukan perkara yang ditegah oleh agama hanya didenda dengan nilai sekecil itu.

            Bermula daripada isu tersebut, masyarakat bingung seketika dengan sistem kehakiman Malaysia pada hari ini. Kenapa hanya tindakan itu yang dikenakan kepada gadis-gadis tersebut? Nilai RM25 itu hanya dipandang sebelah mata sahaja oleh mereka sedangkan gaji mereka menari tarian tiang di kelab malam tersebut jauh berkali ganda daripada nilai yang didenda itu. Kekeliruan berlaku di situ, ini melibatkan akhlak remaja Melayu yang beragama Islam sepatut lebih dititikberatkan oleh sistem kehakiman negara.

            Sekurang-kurangnya mereka perlu diberi kaunseling supaya mereka berubah ke jalan yang benar dan meninggalkan pekerjaan yang haram itu. Pemantauan oleh pihak jabatan agama perlulah dilaksanakan bagi memantau perkembangan gadis-gadis tersebut supaya mereka tidak terjebak lagi dalam kelakuan yang ditegah oleh agama Islam sendiri.

            Pada waktu ini kecoh di laman sosial yang mengatakan bahawa lelaki yang berserban hendak ke masjid disaman sebanyak RM90, bayangkan orang yang ingin melakukan kebaikan kepada Allah didenda RM90 sedangkan perkara maksiat yang dilakukan secara terangan hanya didenda sebanyak RM25, apa sudah jadi dengan sistem kehakiman di Malaysia.

            Sistem kehakiman juga diragui kerana hanya tertakluk kepada akta lama semata-mata, dalam kes seorang imam menghina Hakim Mahkamah Persekutuan dijatuhkan hukuman penjara setahun. Penghinaan yang dilakukan kepada seorang manusia atas sebab tertentu dijatuhkan hukuman penjara setahun manakala tiga orang gadis yang mengina agama dan Allah hanya didenda hukuman penjara maksimum 14 hari sahaja. Sistem kehakiman di Malaysia sudah lapuk dan perlu di ubah kepada akta yang baru, bukan hanya kekal pada sistem lama yang dianggap tidak adil. Perkara yang perlu diubah bukan hanya ditujukan kepada sistem kehakiman negara sahaja malahan mentaliti masyarakat di Malaysia terutama masyarakat Melayu yang beragama Islam.    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan